Berita  | Dunia

Baitulmaqdis jadi ibu negara Israel, Iraq beri amaran buat Trump

Baitulmaqdis jadi ibu negara Israel, Iraq beri amaran buat Trump
HAIDER: Tidak ada pihak yang boleh membuat keputusan sendiri berkaitan isu di Asia Barat. REUTERS / Fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar tidak memandai-mandai dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Tegas Haider “tidak ada pihak yang boleh membuat keputusan sendiri berkaitan isu di Asia Barat.”

Dalam kenyataannya kepada media pada Selasa, Haider menegaskan kerajaan Iraq menolak sekeras-kerasnya cadangan Trump bagi memindahkan Kedutaan AS ke kota suci itu.
Trump memberitahu Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa, beliau berhasrat memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis, menyalahi polisi AS selama beberapa dekad yang menyatakan status bandar itu mesti diputuskan dalam perundingan dengan rakyat Palestin. 

Beliau pada masa sama beliau memberi amaran cadangan berkenaan sekiranya dilaksanakan akan memberi kesan buruk kepada kestabilan bukan hanya di rantau berkenaan malah akan membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam.

Justeru beliau menggesa semua negara Islam memainkan peranan masing-masing dalam memastikan hasrat Trump ini tidak akan dapat direalisasikan.

Tindakan kontroversi Trump itu hakikatnya bukan isu baharu kerana beliau dalam kempen pemilihan presiden sebelum ini telah berjanji akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sekiranya terpilih menduduki White House.