DUNIA
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu 30 Mei 2020.
Singapura mengesahkan tambahan 506 kes COVID-19 hari ini termasuk lima jangkitan dalam komuniti, menjadikan jumlah terkumpul kes positif di negara itu sebanyak 34,366.
Kementerian Kesihatan Singapura berkata daripada lima kes tempatan itu, siasatan mendapati dua adalah warganegara Singpura atau pemastautin tetap manakala tiga lagi pemegang pas kerja.
Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 25,773 kes, dengan kematian kini berjumlah 1,573 orang.
Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto,bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 557 tambahan kes positif baharu, manakala 53 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.
Sekumpulan monyet di India dilapor menyerang seorang pegawai perubatan dan membawa lari sampel darah pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19.
Serangan itu berlaku minggu lalu semasa juruteknik makmal itu berjalan sendirian di kampus kolej perubatan yang dikendalikan kerajaan di Meerut, utara Lucknow.
Para saintis di China melahirkan keyakinan vaksin yang dibangunkan mereka 99 peratus berkesan untuk merawat COVID-19.
Vaksin tersebut dibangunkan oleh firma bioteknologi Sinovac yang berpusat di Beijing.
Firma itu mendakwa ketika ini mereka berada dalam fasa kedua percubaan kepada 1,000 peserta dalam ujian klinikal.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain yang diketuai Costa Rica pada Jumaat melancarkan inisiatif global yang membolehkan perkongsian data dan pengetahuan saintifik dalam memerangi COVID-19.
Presiden Costa Rica, Carlos Alvarado menggariskan 'repositori teknologi' di seluruh dunia untuk vaksin, ubat-ubatan dan diagnostik dalam usaha meningkatkan solidariti dan menggesa lebih banyak negara bergabung dalam Perkhidmatan Akses Teknologi COVID-19.
Angka korban akibat COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat, mencatatkan kenaikan 5,000 kes dalam tempoh 24 jam dengan angka kumulatif melepasi 363,000 kes.
Menurut statistik dari Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) mencatatkan angka kematian melepasi 100,000 kes.
Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 5.8 juta.
Menurut data dari Johns Hopkins University, dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan 120,000 kes.
Turki akan melonggarkan sekatan pergerarakan daalam kalangan rakyatnya bermula 1 Jun ini.
Presidennya, Recep Tayyip Erdogan memaklumkan, ia termasuk sekatan perjalanan antara bandar di Istanbul selain operasi restoran, kafe, muzium dan kolam renang yng akan dibuka semula.
White House diletakkan di bawah sekatan pergerakan apabila kumpulan penunjuk perasaan mula tiba di ibu kota Amerika Syarikat pada Jumaat, hari keempat protes susulan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd.
Seorang wartawan CNN dan jurukamera ditahan polis ketika sedang bersiaran secara langsung berhampiran lokasi rusuhan di Minneapolis, Minnesota, pada pagi Jumaat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami