Polis Indonesia menyerahkan kes pembunuhan warga Amerika Syarikat, Sheila von Wiese-Mack kepada pendakwa raya untuk siasatan lanjut.

Suspek Heather Mack, 19 tahun yang juga anak mangsa dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21 tahun telah dipindahkan ke pejabat pendakwa raya pada Isnin.

Pendakwa raya negeri, Eddy Arta Wijaya memaklumkan, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan akan memfailkan dakwaan terhadap tertuduh minggu depan.

Di bawah undang-undang Indonesia, kedua-dua suspek tidak akan secara rasmi didakwa sehingga kes dibicarakan di mahkamah.

Perbicaraan dijangka berlangsung awal Januari depan.

Sheila dipercayai dibunuh di hotel St Regis di Nusa Dua, Bali pada Oktober lepas.

Mayatnya disumbat dalam sebuah bagasi sebelum ditemui seorang pemandu teksi.

Susulan itu, anak perempuannya yang sedang mengandung ditahan bersama teman lelakinya untuk siasatan lanjut.