Tutup

Ceritalah India: Air sekarang lebih mahal daripada petrol

Ceritalah India: Air sekarang lebih mahal daripada petrol
Takungan air utama Chennai kering-kontang. Chembarambakkam - sumber air sejak sekian lama - kini semakin menghilang. - Pasukan Ceritalah
HAMPIR empat tahun lalu, bandar raya India selatan, Chennai (ibu kota Tamil Nadu) ditenggelami air. Banjir terburuk dalam lipatan sejarah - akibat ribut siklon dari Teluk Benggala - telah mengakibatkan penjana kuasa pembuatan dan perkhidmatan dengan penduduk 11 juta ini terhenti seketika apabila air payau menyentuh roda kapal terbang yang diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna. Satu tragedi kemanusiaan besar terjadi, dengan lebih 500 kematian dan kira-kira 1.8 juta rakyat terpaksa berpindah.

Hari ini, bandar raya itu menderita akibat kemarau yang tidak dijangka, susulan lebih 200 hari berlalu tanpa setitik hujan. Empat empangan utama Chennai kini kering kontang sementara tasik purba Chembarambakkam - sumber air untuk sekian lama - semakin hilang dari pandangan.
Bagaimanapun, bagi Anbu, seorang pemandu lori berusia 28 tahun, kemarau itu -- paling buruk yang pernah terjadi sepanjang lebih 140 tahun -- menjadi satu sumber kerja untuknya.

Ironinya, semasa banjir 2015, beliau telah dipaksa meninggalkan kampungnya, Pavandhur, kira-kira 250 kilometer ke selatan Chennai kerana, dalam banyak-banyak perkara, ia kehabisan air. Walaupun memiliki diploma dalam seramik, beliau berharap untuk menjadi penanam tebu seperti bapanya. "Apabila ada air, tanamanlah yang benar-benar mendatangkan pulangan," jelasnya.
Tetapi, di sebuah stesen membaiki trak di sebatang lebuh raya di Poonamaliee, di luar kota Chennai, Anbu kelihatan sangat gembira sambil menepuk-nepuk lori airnya yang dicat dengan warna cerah. Memandangkan kerjayanya sebagai pemandu trak menuntut komitmen 24 jam, kenderaan itu seringkali juga berfungsi sebagai rumahnya.

Ketika Pasukan Ceritalah menemuinya, angin panas berdebu bertiup di halaman rumahnya yang turut menempatkan dua trak lain yang pada masa itu sedang dibaiki. Cuaca panas terik itu membuatkan Anbu kelihatan lebih berusia. Begitu pun, lelaki yang baik hati ini, bersama rakan-rakan sekerjanya, mungkin merupakan mereka yang berjasa mencegah ribuan penduduk Chennai daripada mati kehausan.


Bagi Anbu, kemarau yang berlaku membuka peluang pekerjaan kepadanya walaupun beserta dengan bahaya pekerjaan. Pasukan Ceritalah

Anbu malah memandu berdekatan tasik Chembarambakkam setiap hari, yang pernah menjadi penyimpam akhir air untuk bandar raya itu. Ia pernah memiliki sederetan kampung nelayan yang makmur.

Chembarambakkam dibina oleh raja-raja Chola kira-kira 900 tahun lalu. Mereka mewujudkan satu sistem hidrologi yang kompleks - dengan tangki, benteng dan tasik - yang menyumbang kepada kekayaan wilayah itu. Malah, ia adalah asas kepada empayar pesisiran dan maritim Chola. Pada dekad lalu bagaimanapun, sumber-sumber air ini melalui dugaan yang berat apabila perancangan yang lemah, korupsi dan ketidakcekapan mula mengambil tempat.

Pertumbuhan bercelaru dan pembinaan haram (seringkali di atas tasik semula jadi bandar raya itu) telah merosakkan alam sekitar dengan teruk, serta juga ekosistem tepi laut yang terdiri daripada hutan bakau dan laluan air.

Kaum wanita di Chennai berbaris di waktu malam untuk menakung air di dalam kudam atau pasu plastik. Pasukan Ceritalah

Kerja-kerja kuari di dasar tasik dan kegagalan untuk mendalaminya hanya memburukkan keadaan. Tambahan pula, jumlah air yang telah disalurkan kepada bandar raya itu telah jatuh kepada kurang daripada 10 peratus daripada bekalan asal.

Sebagai ganti, tiga loji desalinasi mega bekerja lebih masa dan kerajaan negeri terpaksa mengangkut air menggunakan kereta api dari jauh di pedalaman. Tetapi solusi ini - seperti air kuari itu - tidak mampu bertahan lama.

Malah, menguruskan sumber air adalah suatu cabaran berterusan di benua kecil itu. NITI Aayog (dulunya Suruhanjaya Perancangan India) menganggarkan bahawa 21 bandar raya di negara itu akan kehabisan air bawah tanah menjelang tahun 2020. Dengan monsun yang tahun ini tiba lebih lewat dan lebih lemah daripada biasa, bandar raya di seluruh negara ini akan jadi kering sekering-keringnya.

Hanya sedikit yang telah dilakukan untuk suatu strategi pengurusan air seluruh India, walaupun keadaan di negeri-negeri tertentu seperti Andhra Pradesh adalah lebih baik daripada tempat lain. Malah, terusan dan projek pembinaan empangan di negeri jiran, seperti Karnataka, hanya akan mengurangkan bekalan air Tamil Nadu.

Mulai 12 Julai lalu, terdapat perkhidmatan kereta api yang membawa jutaan liter air dari satu empangan di Jolarpettai, kira-kira 360 kilometer jauhnya. CNN

Chennai hampir terhenti lumpuh dengan harga air memuncak naik. Anbu berkata bahawa ada sebekas 20 liter air minuman yang selalunya berharga INR25-30 kini meningkat menjadi INR80-100. Ini bermakna air kini adalah lebih mahal daripada petrol di Chennai -- yang mana ia berharga INR76.18 seliter.

Kilang-kilang automobil telah tutup sementara, dengan kira-kira 20.000 kakitangan yang menghadapi risiko kehilangan gaji mereka ketika mana mereka paling memerlukannya. Banyak syarikat di koridor IT Chennai yang menampung 20,000 kerja telah meminta kakitangan mereka bekerja dari rumah. Pejabat-pejabat ini kebanyakannya diberi khidmat oleh trak seperti Anbu tetapi harganya telah kini meningkat hampir sekali ganda.

Jumlah air yang disalurkan ke bandar itu telah menurun kepada kurang daripada 10 peratus daripada bekalan asalnya. ANI

Penjaja jalanan Pasukan Ceritalah yang ditemui berkata bahawa malam mereka dihabiskan dengan mencari air untuk kediaman dan perniagaan mereka.

Satu lagi ironi: negeri-negeri di utara dan timur laut iaitu masing-masing ialah Bihar dan Assam adalah kini sedang dilanda banjir buruk mengakibatkan puluhan kematian. Ia adalah pernyataan bahawa bagaimana cuaca India yang tidak menentu adalah kesan daripada perubahan iklim -- ia juga dihujahkan merupakan hasil daripada pembangunan pesat negara.

Kembali ke Chennai bagaimanapun, kemarau bermakna kerja lebih bagi Anbu. Trak seperti miliknya mengumpul air dari kampung-kampung sekitar bandar raya, berjalan sehingga 40 kilometer jauh.

Mereka mengisi tangki 24,000 liter dengan membayar petani-petani untuk air  dari perigi atau lubang serendah INR700. Air yang sama dijual kemudiannya di Chennai pada harga lebih INR1,000.

Keganasan terhadap pemandu lori air berlaku, walaupun ia tidak pernah terjadi kepada Anbu, pemandu trak sering diserang penduduk kampung, cermin pecah akibat dibaling batu dan tayar dipancitkan. Scroll.in

Hanya sebagai seorang pemandu,  pendapatan Anbu adalah kecil -- cuma INR15,000 bagi kerja 10 hari -- tetapi ia tetap merupakan wang yang banyak di kawasan itu.

Bagaimanapun, terdapat bahaya pekerjaan termasuk para petani yang memprotes bahawa trak "mencuri" air dari kampung-kampung mereka.

Kekerasan kadangkala tercetus juga, walaupun Anbu berkata:  "Nasib baik ia tidak berlaku ke atas saya. Tetapi seringkali, pemandu trak diserang oleh orang kampung, tingkap trak dipecahkan dengan batu dan tayar dipancitkan.".

Kira-kira empat tahun lalu, Chennai ditenggelami air, apabila banjir paling teruk dalam sejarah berlaku, melumpuhkan bandar itu. Tetapi, hari ini, ia dilanda kemarau yang serius. REUTERS

Banyak daripada kawan-kawannya hampir dapat mengelak bertembung dengan orang kampung yang marah kerana air yang sedikit mereka ada itu telah diambil untuk diberikan kepada penduduk kota Chennai -- yang pada masa lalu tidak memberikan perhatian sedikitpun pada kesusahan petani itu.

Apabila ditanya sama ada beliau membenarkan trak untuk mengambil air dari kampungnya, Anbu tersenyum lagi: "Saya tidak akan membenarkan sebarang trak seperti yang saya miliki ini untuk masuk ke kawasan kampung saya. Saya tahu apa yang saya lakukan adalah salah; tetapi kita dalam keadaan yang mana kita perlu lakukan apa yang boleh untuk hidup. Saya tidak memohon maaf untuk itu."


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.