RANTAIAN pengeluaran menghubung perdagangan dunia bakal menghadapi keputusan bekalan kerana banyak kilang di China masih belum beroperasi semula seperti sediakala setelah hampir dua minggu bercuti.

Ini kerana ancaman demam selsema membawa maut jangkitan novel koronavirus pneumonia (NCP) masih belum menunjuk tanda reda.

Akibatnya, kehidupan harian termasuk operasi perkilangan terjejas, sedang melalui usaha berjaga-jaga mengurangkan kemungkinan penularan.

Kebanyakan kilang di China masih belum mula beroperasi walaupun jutaan rakyat sudah pulang ke kota dan bandar besar setelah cuti tahun baharu. Cuti tahun ini di turut dipanjangkan kerajaan China sebagai langkah mengurangkan kemungkinan NCP tersebar.

Dalam dunia perbekalan barangan telekomunikasi, syarikat dari Taiwan – Foxconn merupakan antara syarikat yang terjejas operasi pengeluarannya.

Terkenal sebagai pembekal bahagian telefon pintar Apple, syarikat Taiwan ini beroperasi di Shenzen, selatan China, Kunshan di timur dan juga Zhengzhou, utara China.

Setakat ini, Foxconn diberi kebenaran menyambung operasi di Zhengzhou sahaja, setelah ditutup untuk cuti Tahun Baharu China.

Beberapa syarikat pembuat kereta turut menghadapi masalah bekalan yang akan menjejaskan pengeluaran.

Penganalisis telekomunikasi menjangka, penjualan telefon pintar di China bakal menguncup 50 peratus akibat penularan NCP. Ini ekoran berkurangnya ruang jualan setelah perintah kuarantin dikeluarkan serta pengunduran penjual dari pasaran.

Bidang automotif juga turut terjejas. Antara syarikat gergasi dunia yang beroperasi di China, iaitu Honda, General Motors dan Dongfeng Motor mempunyai operasi kilang di Wilayah Hubei.

Malah, satu daripada dua pusat usahasama Honda terletak di Wuhan, ibukota Hubei.

Minggu lalu, syarikat Korea, Hyundai terpaksa menghentikan pengeluaran luar China kerana gagal mendapatkan bekalan peralatan akibat penularan NCP.

Fiat Chrysler pula memberi gambaran terpaksa menghentikan pengeluaran kereta di Eropah kerana kesukaran mendapatkan bekalan dari China.

Suzuki pula bakal mencari sumber bekalan dari luar China agar pengeluaran kereta jenama syarikat Jepun itu di India tidak terjejas.