Menjelang tahun 2020, Kerajaan China bercadang melaksanakan pemberian merit kepada 1.4 bilion rakyatnya bergantung kepada keperibadian dan tingkah laku mereka.

Memetik laporan CBS News, setakat ini, hampir 11 juta rakyatnya dilarang menggunakan kapal terbang manakala empat juta lagi dilarang menggunakan perkhidmatan kereta api atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.

Objektif program yang bakal dilaksanakan itu diharap mampu mendidik rakyat republik itu supaya berkelakuan baik dan menanam sikap amanah.

Skor mata akan diberikan berlandaskan waktu pembayaran cukai sama ada tepat pada masa atau lewat, bagaimana cara seseorang individu melintas jalan, merokok di tempat yang dilarang serta perkara yang dikongsikan di media-media sosial.

Bagi rakyat yang memperoleh mata yang tinggi, mereka juga bakal diberikan ganjaran.

Salah seorang rakyat yang juga juga seorang wartawan, Liu Hu dan telah dikenakan denda berkata, dia telah dilarang menaiki kapal terbang ketika cuba menempah tiket penerbangan.

Dia diarahkan oleh pihak mahkamah untuk membuat permohonan maaf di atas beberapa ‘tweet’ di akaun media sosial miliknya.

“Saya tidak boleh membeli sebarang hartanah dan anak saya tidak dibenarkan bersekolah di sekolah swasta. Saya rasa seolah-olah dikawal sepanjang masa,” katanya.

Walaubagaimanapun, seorang wanita yang enggan dikenali menggalakan program itu dilaksanakan bagi menghukum rakyat yang tidak berkelakuan baik.

Setakat ini, China mempunyai 176 juta kamera keselamatan dan bakal menambah kepada 600 juta kamera lagi menjelang 2020 bagi membangunkan pusat kawalan negaranya.

Sementara itu, kamera rakaman litar tertutup juga akan dibangunkan dengan teknologi pintar oleh syarikat SenseTime bagi menjejaki penjenayah dan juga rakyat biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif SenseTime, Xu Li menjelaskan, kamera itu boleh mengenal pasti setiap jenis kenderaan dan jantina individu yang dijejaki.