PERTUBUHAN Kesihatan Pan Amerika (PAHO) memberi amaran bahawa tanpa vaksin atau rawatan COVID-19, benua Amerika akan mengalami jangkitan berulang bagi tempoh dua tahun akan datang.

Justeru, langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil bagi menangani penularan pandemik itu.

Semasa persidangan secara maya, para pegawai PAHO berkata, jika vaksin dijumpai, organisasi PBB merancang menggunakan dana serantau untuk membuat vaksin tersedia di semua negara.

Kes jangkitan pandemik itu dilaporkan meningkat tiga kali ganda sejak bulan lalu dengan Amerika Latin kini merupakan pusat baharu wabak itu dengan merekodkan lebih dua juta kes COVID-19 sehingga Rabu.

Pada 19 Jun, Brazil menjadi negara kedua setelah Amerika Syarikat (AS) merekodkan angka kes positif melebihi 1 juta.

Para pegawai PAHO meminta pihak berkuasa Brazil meningkatkan jumlah ujian untuk mengenal pasti senario dihadapi negara itu.

Menurut data PAHO, AS telah melaporkan peningkatan 68,785 kes dan 2,274 kematian dalam 24 jam terakhir.