Singapura pada Jumaat mencatatkan kes kematian kelima akibat COVID-19, dengan mangsa terbaharu adalah seorang wanita tempatan berusia 86 tahun.

Dalam satu kenyataan kepada media tempatan, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyatakan wanita yang merupakan kes positif ke 918 itu, tidak pernah mempunyai sejarah perjalanan ke mana-mana negara yang dijangkiti virus itu.

Akhbar The Straits Times Singapura melaporkan wanita berkenaan dikatakan salah seorang pesakit daripada kluster Rumah Penjagaan Warga Emas Lee Ah Mooi di republik berkenaan.

“Dia dimasukkan ke Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) Singapura pada 31 Mac dan disahkan menghidap COVID-19 pada hari yang sama.

“Dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.55 pagi Jumaat,” menurut laporan itu lagi.

Sebelum ini empat orang telah meninggal dunia akibat wabak itu sejak ia mula melanda Singapura pada 23 Januari.

Pada 21 Mac, seorang wanita Singapura berusia 75 tahun dan seorang lelaki Indonesia berusia 64 tahun dilaporkan meninggal dunia di negara itu.

Wanita berkenaan mempunyai sejarah penyakit jantung kronik dan hipertensi, manakala lelaki itu mempunyai sejarah penyakit jantung.

Pada 29 Mac, lelaki Singapura berusia 70 tahun meninggal dunia dan dia mempunyai sejarah hipertensi dan hiperlipidemia atau kolestrol tinggi dalam dalam.

Kematian keempat berlaku pada Khamis melibatkan seorang lelaki Indonesia berusia 68 tahun dan mempunyai sejarah diabetis dan hipertensi.