Begitu menyayat hati!

Kisah seorang doktor yang meninggal dunia di Hospital Persahabatan, Jakarta, Indonesia kerana COVID-19 pada Sabtu lalu menyentuh hati ramai orang apabila menjadi korban virus berkenaan ketika menghitung hari bahagianya.

Hati siapa yang tidak luluh, pada ketika Michael Robert Marampe, 28 tahun, sedang melakukan persiapan perkahwinan bersama tunangnya, Tri Novia Septiani, maut terlebih dahulu menjemputnya.

Seminggu sebelum kematiannya, mendiang Michael sempat memuat naik gambar bersama tunangnya dengan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada wanita itu.

"Terima kasih tunanganku Tri Novia Septiani. Kamu adalah anugerah dalam hidupku yang terindah dari Tuhan penyelamat ku. Aku mencintaimu dan mengasihimu selalu," katanya dalam status Instagram yang dimuat naik pada 17 April lalu.

Malah, melalui satu lagi rakaman video di Instagram, Michael berkata dia berasa kesihatannya bertambah baik dan memberikan kata-kata semangat kepada petugas perubatan terus berjuang memerangi COVID-19.

"Saya sudah berada di sini 8 hari dan puji Tuhan keluhan saya semakin baik hanya tinggal batuk sedikit-sedikit.

"Semangat selalu doktor, perawat dan semua yang mengambil bahagian dalam memerangi COVID-19. Buat teman-teman lainnya bantu kami tim medis (pasukan perubatan) dengan tetap di rumah," kata Michael.

Michael sebelum itu menerima rawatan intensif di Hospital Persahabatan di Timur Jakarta selepas disahkan positif COVID-19.

Kepada rakan seperjuangan di hospital itu, Michael mengingatkan mereka agar sentiasa bangga dapat membantu pesakit yang memerlukan.

Indonesia setakat ini mencatatkan 9,096 kes positif COVID-19 dengan 765 kes kematian.