Tindakan sekumpulan remaja mengambil gambar swafoto di sebuah jambatan gantung mengundang padah apabila jambatan itu putus dipercayai akibat tidak dapat menampung berat berlebihan dalam kejadian di kepulauan Sumatera, kata agensi pengurusan bencana Indonesia pada Isnin.

Kejadian di Desa Manau Sembilan II, Padang Gudi Hulu, Kabupaten Kaur pada petang Ahad mengakibatkan 10 orang mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai.

Kesemua mangsa dihanyutkan arus deras akibat banjir di daerah terbabit.

“Semasa kejadian terdapat lebih 30 orang kebanyakannya pelajar berada di atas jambatan gantung itu.

"Jambatan yang baru dibina itu mungkin tidak dapat menampung berat berlebihan menyebabkan ia terputus," kata ketua agensi pengurusan bencana daerah berkenaan, Ujang Syafiri.

Tambah Ujang, seramai 17 mangsa yang cedera dalam insiden itu telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat dihentikan serta-merta selepas semua mangsa yang hanyut ditemukan," katanya. - Agensi