Seorang guru perempuan sebuah sekolah rendah di Albi, di selatan Perancis ditikam sampai mati oleh ibu kepada seorang muridnya di depan murid-murid yang lain. Ibu itu ditahan serta-merta.

"Pagi ini, seorang ibu datang dengan sebilah pisau dan menikam seorang guru berumur 34 tahun di depan murid-muridnya. Kenapa dia berbuat begitu akan disiasat," kata pendakwaraya Albi, Claude Derens kepada AFP.

"Semasa saya tiba di tembat kejadian mereka masih cuba menyelamatkan guru itu. Dia kena serangan jantung di bilik darjahnya," tambah beliau.

Presiden Francois Hollande segera mengirimkan Menteri Pendidikan, Benoit Hamon ke sekolah itu untuk menguruskan maklum balas kerajaan.

"Semua agensi negeri akan dikerah untuk menguruskan keperluan anak-anak ini serta kakitangan yang menyaksikan kejadian malang itu," kata Hollande dalam satu kenyataan.

Insiden itu berlaku semasa kelas pagi baru bermula di sekolah rendah Edouard Herriot. Sekolah itu mempunyai 284 murid berumur antara 3 hingga 11 tahun.

Jurucakap Hamon berkata menteri itu sangat terkejut dengan apa yang berlaku dan ke sekolah berkenaan untuk memberikan sokongan moral.

"Tragedi ini mengesahkan bahawa kita perlu memerangi keganasan di sekolah dan di kawasan sekitarnya untuk melindungi sekolah, guru dan murid."

Satu kajian pada April lalu menunjukkan hampir separuh daripada guru besar sekolah rendah di Perancis pernah dianiayai sama ada secara lisan mahupun fizikal oleh ibu bapa.