Pertubuhan Penerbangan Awam (ICAO), hari ini merancang untuk mengumpul data mengenai risiko penerbangan ke zon konflik dan menyebarkan maklumat ini kepada syarikat penerbangan, walaupun mendapat tentangan daripada Rusia.

Langkah ini sebagai reaksi terhadap kemalangan melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 Julai lalu yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

Kiev dan Barat mendakwa pesawat itu ditembak jatuh di kawasan yang dilanda konflik oleh pejuang pemisah menggunakan peluru berpandu darat ke udara BUK yang dibekalkan oleh Rusia.

Moscow menafikan tuduhan, dan menunding jari kepada Kiev.

Dalam satu mesyuarat melibatkan 191 negara anggota ICAO dan pemimpin penerbangan di Montreal pada Selasa, pakar mencadangkan satu sistem diwujudkan untuk menyimpan semua maklumat risiko.

Walaupun repositori itu mengandungi data yang telah sedia ada kepada syarikat penerbangan, ia biasanya tidak dalam bentuk jitu.

Sistem yang dicadangkan akan melibatkan maklumat daripada pelbagai sumber, seperti daripada agensi perkhidmatan perisikan.

Delegasi Malaysia menyatakan bahawa kemalangan MH17 boleh berlaku kepada mana-mana pesawat komersial yang terbang di timur Ukraine hari itu.

Rusia berkata notis bulanan kepada juruterbang, yang dikenali sebagai Notis kepada Juruterbang atau NOTAM, sudah memadai untuk memberi amaran risiko kepada syarikat penerbangan.

Rusia boleh memaksa penangguhan sehingga 2016 dari segi penggabungan amaran dan data yang sedia ada di dalam dokumen lain, seperti Maklumat Penerbitan Aeronautik dan Pekeliling Maklumat Aeronautik.

Seorang pegawai Rusia berkata ia akan mengemukakan "cadangan yang jitu."

Sementara itu, Kesatuan Eropah menggesa agar sistem sehenti terbaharu itu dilaksanakan "secepat mungkin."