SEORANG wanita tidak menyangka suaminya sanggup bertindak menamatkan riwayat hidup dengan menggantung diri di sebuah kebun getah di sini Selasa lalu.

Yusral Elhayati menemukan mayat suaminya tergantung pada pokok getah kira-kira pukul 4 petang Selasa di kebun Desa Alahan, Rokan Hulu, Riau Indonesia.

Sebelum kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Adi Putra, 39 tahun dikatakan tergesa-gesa keluar ke kebun itu di Desa Alahan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Bagaimanapun, Yusral curiga apabila suaminya tidak pulang seperti kebiasaan lalu bertindak mencari mangsa di kebun tersebut.

Sebaik sahaja tiba di kebun itu, Yusral terkejut apabila menemui mayat Adi tergantung pada pokok getah dalam keadaan mengerikan.

Yusral segera meminta bantuan orang ramai untuk memotong tali pada leher suaminya dan membawa mayat itu pulang ke rumah.

Mangsa dikatakan bertindak nekad membunuh diri ekoran masalah ekonomi.

Pihak polis bagaimanapun sedang melengkapkan siasatan dan mengumpul bahan bukti dalam insiden itu.