Negeri selatan India, Kerala, kini berperang dengan penularan penyakit yang berpunca bakteria dalam air selepas bencana banjir, ujar Reuters.

Pihak berkuasa tempatan percaya, jangkitan bakteria itu menjadi penyebab kematian berpuluh-puluh orang sejak pertengahan Ogos selepas negeri itu dilanda bencana banjir yang paling teruk dalam tempoh sekurun.

Jurucakap Menteri Kesihatan berkata, sehingga Ahad, terdapat hampir 200 kes yang disahkan sebagai ‘demam tikus’ dalam bahasa tempatan.

Ia merujuk kepada penyakit kencing tikus atau leptospirosis – sejenis penyakit bawaan air yang sudah dicemari bakteria yang dipindahkan menlalui air kencing haiwan yang sudah dijangkiti terutamanya tikus. Ia antara lain menyebabkan simptom sakit otot dan demam.

Lonjakan kes terjadi selepas hujan lebat melanda bermula 8 Ogos hingga menyebabkan banjir di hampir keseluruhan negeri, mengorbankan ratusan nyawa, memusnahkan ribuan rumah dan meninggalkan kerugian beratus bilion Rupee.

Kementerian Kesihatan giat mengedarkan ubat-ubatan pencegahan penyakit sejak bulan lalu dan memberi amaran tentang penularan wabak leptospirosis dan penyakit-penyakit lain seperti tifoid dan kolera.

"Mangsa malangnya tidak mengambil ubat-ubatan yang diperlukan," ujar menteri.

Secara umumnya, sembilan kematian dari penyakit itu telah disahkan, namun ia bakal meningkat kepada lebih 40 susulan laporan perubatan penuh.

Leptospirosis jarang merebak dari manusia ke manusia yang lain dan boleh dirawat dengan antibiotik biasa.

“Minggu lalu, kami menyaksikan kira-kira 30 kematian di Kozhikode dan Wayanad," kata pakar perubatan dalaman di hospital Kerala, Mohammed Javeed, merujuk kepada dua daerah paling teruk terjejas di negeri itu.

Javeed berkata negeri itu menerima kes leptospirosis setiap kali musim monsun – apabila bendang sawah penuh menakung air lantas meningkatkan risiko jangkitan kepada petani, terutamanya menerusi luka.

Bagaimanapun, mangsa-mangsa pada tahun ini tidak menunjukkan simptom biasa seperti demam kuning ringan, darah dalam air kencing atau bintik merah dan berdarah pada kulit, ujarnya.

"Kali ini jangkitannya pantas dan progresif. Kematian terkini menunjukkan ancaman sebuah epidemik,” tegas Javeed.