Korea Selatan mengesahkan mangsa kelima wabak virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) pada Ahad sekali gus berikrar akan berusaha habis-habisan untuk mengekang penularan wabak berbahaya itu daripada merebak ke seluruh negara.

Antara usaha tersebut adalah dengan mengesan nombor telefon bimbit mereka yang sedang dikuarantin.

Jumlah mangsa yang telah dijangkiti kini meningkat ke 64 orang selepas mencatatkan 14 kes baharu termasuk seorang yang maut. Perkara tersebut disahkan oleh Kementerian Kesihatan negara itu pada Sabtu.

Perkembangan membimbangkan di Korea Selatan merupakan kes penularan wabak terbesar di luar Arab Saudi, yang menyaksikan seramai 950 orang telah dijangkiti sejak tahun 2012.

Pada Ahad, lebih daripada 2,300 orang telah dikuarantin mengikut tahap bahaya yang berbeza. Kira-kira 2,100 telah diberitahu untuk tidak meninggalkan kediaman masing-masing dan membataskan interaksi dengan orang lain.

Sementara itu, kira-kira 200 orang turut diberi rawatan secara berasingan di beberapa buah hospital.
Semua 14 jangkitan baharu adalah dari kalangan mereka yang dikuarantin selepas mereka terdedah kepada mereka yang telah didiagnosis lebih awal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Busan melaporkan satu kes tambahan di bandar pelabuhan selatan tersebut hingga mencetuskan keadaan berjaga-jaga berikutan kemungkinan bermulanya penularan di luar Seoul.

Pemangku Perdana Menteri Choi Kyung-Hwan berikrar bahawa segala usaha akan diambil untuk mengekakng penularan tersebut.

Beliau menggesa orang awam supaya tidak panik memandangkan semua 64 pesakit sudahpun dikuarantin di hospital.

“Setakat ini kami masih menyifatkan situasi ini di bawah kawalan kerana wabak ini belum merebak di luar komuniti ini.

"Orang ramai tidak perlu memberi reaksi keterlaluan dan perlu memberi kerjasama secara dekat dengan pemerintah untuk mengurangkan impak ekonomi,” ujar Kwung-Han.