Satu perjanjian telah ditandatangani pada Jumaat untuk menamatkan krisis di Ukraine dengan penunjuk perasaan yang telah berkumpul sejak November.

Antara yang diumumkan sejurus selepas perjanjian itu dibuat ialah pilihan raya umum diisytihar bakal diadakan pada 25 Mei depan yang disifatkan sebagai sudah terlewat ekoran demonstrasi berdarah yang berlaku baru-baru ini.

Berikut ialah kronologi yang membawa kepada perjanjian tersebut.

21 Nov 2013: Presiden Viktor Yanukovych mengumumkan untuk mengabaikan penjanjian yang mampu mengukuhkan hubungan negara itu dengan Kesatua Eropah sebaliknya cuba mencari kerjasama rapat dengan Moscow. Tunjuk perasaan mula diadakan di jalanan.

30 Nov 2013: Polis menyerang sekumpulan penunjuk perasaan dan menahan 35 orang. Foto-foto penunjuk perasaan yang ditahan dalam keadaan cedera ekoran kekasaran polis tersebar dan menyemarakkan lagi protes jalanan oleh lebih ramai penunjuk perasaan.

1 Dis 2013: Satu tunjuk perasaan diadakan dengan lebih 300,000 peserta. Aktivis mengambil alih dewan bandaraya Kiev.

17 Dis 2013: Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan pembelian bon kerajaan Ukraine bernilai USD15 billion dan membenarkan potongan ketara dalam harga yang dibayar Ukraine kepada Rusia untuk gas asli.

22 Jan 2014: Dua penunjuk perasaan maut apabila ditembak dengan peluru hidup manakala mangsa ketiga terbunuh selepas terjatuh ketika konfrontasi antara penunjuk perasaan dan polis yang mengawal tembok penghadang. Ia merupakan kali pertama berlakunya kematian ketika protes.

28 Jan 2014: Perdana Menterinya meletak jawatan dan parlimen Ukraine memansuhkan undang-undang anti-protes baru yang ketat yang mencetuskan keganasan pada minggu sebelumnya.

16 Feb 2014: Aktivis pembangkang menamatkan pengambil alihan dewan bandar raya Kiev dan sebagai pertukaran untuk pembebasan kesemua 234 penunjuk perasaan yang dipenjarakan. Perkembangan ini dilihat sebagai tanda kemajuan ke arah menyelesaikan krisis itu secara aman.

18 Feb 2014: Pertempuran yang berlaku di jalanan telah menyebabkan 26 termasuk 10 anggota polis terbunuh manakala ratusan lain cedera. Keganasan itu bermula apabila beberapa penunjuk perasaan mengabaikan garisan polis dan membakar kawasan di luar parlimen setelah badan berkuasa itu melengah-lengahkan untuk meminda perlembagaan bagi mengehadkan kuasa presiden.

Tawaran Rusia sehari sebelumnya untuk menyambung pembayaran di bawah satu perjanjian berjamin menimbulkan syak bahawa Yanukovych mempunyai persefahaman bersama Rusia untuk kekal menentang penunjuk perasaan.

20 Feb 2014: Setelah beberapa jam perdamaian diumumkan, pertempuran sengit meletus antara penunjuk perasaan dan polis mengakibatkan ramai mengalami kecederaan teruk dan ada yang maut.

21 Feb 2014: Yanukovych menandatangani perjanjian dengan pemimpin-pemimpin pihak pembangkang untuk mengadakan pilihan raya awal, disamping mengehadkan kuasanya dan membentuk kerajaan semasa. Namun, ramai penunjuk perasaan menuntut beliau disingkir.

22 Feb 2014: Parlimen mengundi dan memutuskan untuk menyingkirkan Yanukovych serta membebaskan lawannya, pemimpin pembangkang yang dipenjarakan sejak dua setengah tahun lalu Yulia Tymoshenko, yang kemudiannya berucap dihadapan puluhan ribu orang di Dataran Kemerdekaan, Kiev sebaik sahaja dibebaskan.