SEKALI pandang, tidak ada sesiapa yang menyangka perabot berupa laci vintaj dan sebuah katil saiz Queen yang cantik dikaitkan dengan kisah ngeri.

Laci tinggi berwarna perang buatan sekitar 1950-an itu dilelong bersama sebuah katil saiz Queen di kedai barangan terpakai ReStore di Salisbury di Rowan County, North Carolina, Amerika Syarikat mempunyai rahsia tersendiri.

Lebih menarik lagi apabila, dua lelaki tidak langsung gentar membawa pulang perabot-perabot berkenaan yang dikatakan berhantu dan sanggup membayar AS$1,000 (RM4,090) di Rowan County, North Carolina, Amerika Syarikat pada Rabu.

Metro UK melaporkan, pihak kedai turut bersertakan nota amaran memaklumkan pemilik sebelum ini mengalami mimpi buruk berterusan ketika laci terbabit dalam biliknya.

Malah, pemilik terbabit turut mendakwa anjing peliharaannya tidak berhenti menyalak depan laci berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap ReStore, Elizabeth Brady berkata, dua lelaki berkenaan tertarik dengan laci itu dan mereka tidak mempercayai wujudnya hantu.

Elizabeth berkata, gambar laci dan nota amaran yang dimuatnaik di media sosial bukan untuk mendapatkan publisiti, sebaliknya adalah tanggungjawab pihak kedai untuk memaklumkan perkara itu kepada pembeli.