Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mempromosikan sektor aeroangkasa sebagai pemangkin bagi menarik pelaburan langsung asing dan meningkatkan imej industri negara.

Pengarah MIDA New York, Shams Rusli, berkata laporan data unjuran Boeing 2016-2036 mendedahkan bahawa permintaan pesawat global akan berkembang kepada 39,600 kapal terbang dalam tempoh 20 tahun, dengan nilai mencecah US$5.93 trilion (US$1=RM4.43).

"Sektor aeroangkasa menjanjikan masa depan yang cerah," katanya kepada Bernama.

Strategi promosi pelaburan di Malaysia meletakkan aeroangkasa sebagai satu industri yang strategik kerana ia adalah selaras dengan program pembangunan teknologi dan perindustrian negara.

"Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia dan Bandar Aeroangkasa Asia, kedua-duanya terletak di Subang, dijangka akan mengukuhkan lagi imej Malaysia dan melonjakkan negara ke arena antarabangsa aeroangkasa.

"Kawasan perindustrian khusus di Malaysia, yang memenuhi keperluan industri berintensifkan teknologi termasuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan, seperti Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Kulim Hi-Tech Park di Kedah, boleh memberikan sokongan yang penting dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan aeroangkasa," katanya.

Di samping itu, perjanjian perdagangan bebas di Malaysia boleh dilihat sebagai 'insentif cukai yang tersembunyi', kerana ia memberikan liputan pasaran yang lebih luas.

Sekarang ini, Malaysia mempunyai perjanjian perdagangan dua hala dengan Australia, Brazil, Jepun, India, Pakistan, New Zealand, Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Jepun dan India, katanya.

Beliau ketika bercakap mengenai ketidakpastian berhubung dengan slogan Presiden Donald Trump, "America First", yang menggalakkan syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan pekerjaan di pasaran domestik, berkata usaha Malaysia bagi menarik minat pelabur tidak akan menjejaskan sektor pekerjaan Amerika.

Sebaliknya, syarikat-syarikat AS boleh memanfaatkan kestabilan ekonomi dan politik Malaysia termasuk fasiliti dan infrastruktur, serta kekuatannya dalam sektor kewangan dan pembuatan untuk menembusi rantau Asia-Pasifik.

"Sebagai sebuah pusat keuntungan Asia, Malaysia merupakan tempat permulaan yang baik untuk syarikat-syarikat AS yang ingin menembusi pasaran Asia-Pasifik yang lumayan," katanya.

-- BERNAMA