Israel membuka semula Masjid Al-Aqsa pada Ahad selepas ia ditutup pada Sabtu kerana insiden tembakan maut, kata satu kenyataan oleh Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu.

Jumaat lalu. tiga lelaki bersenjata berketurunan Arab-Israel menembak mati dua anggota polis Israel di pinggir kawasan suci buat orang Islam dan Yahudi itu.

Tiga lelaki itu kemudian dibunuh oleh pasukan keselamatan.

Ia adalah salah satu serangan yang paling serius di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pihak berkuasa Israel kemudian menutup kawasan berkenaan demi keselamatan penduduk sebelum bermula solat Jumaat.

Langkah itu mendorong kemarahan di kalangan penduduk Islam dan dikritik oleh pemimpin agama dan politik Palestin, Jordan dan Pertubuhan Kerjasama Islam yang turut meminta agar kawasan itu dibuka semula dengan serta-merta.

Dalam kenyataan itu, Netanyahu memberitahu bahawa kawasan itu yang dikenali sebagai Temple Mount buat orang Yahudi dan pekarangan Masjid Al-Aqsa buat umat Islam akan dibuka kepada orang ramai pada Ahad.

"Pengesan logam akan ditempatkan di pintu masuk dan kamera yang meliputi aktiviti di atas gunung akan dipasang di luarnya," kata kenyataan Netanyahu.

Pekarangan yang menempatkan Masjid Al Aqsa dan Kubah Emas itu telah menjadi penghubung kontroversi antara konflik Israel-Palestin sejak zaman-berzaman.

Di bawah perjanjian status quo, orang Yahudi dibenarkan memasuki kawasan tersebut di bawah pengawasan yang rapat, tetapi hanya umat Islam yang dibenarkan untuk bersolat di sana.