Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menasihati negara Asia yang terlibat dalam tuntutan bertindih mematuhi undang-undang antarabangsa bagi memastikan tidak berlaku konflik bersenjata.

Jelas beliau, tuntutan bertindih itu bakal dibincangkan pada sidang kemuncak Asia Timur dan sidang kemuncak Amerika Syarikat-Asean yang dijadual berlangsung Oktober ini di Brunei.

Obama yang menerima kunjungan hormat Sultan Brunei, Sultan Hassanul Bolkiah di Washington dijangka menghadiri kedua-dua sidang berkenaan dalam usaha White House meningkatkan hubungan diplomasi dengan Asia.

Pada pertemuan itu, Obama turut memuji kepimpinan Sultan Hassanal Bolkiah dalam menangani isu tuntutan bertindih dengan bijaksana.

Setakat ini, negara Asean dan Asia masih belum dapat menyelesaikan tuntutan bertindih beberapa wilayah di perairan Laut China Selatan dan China Timur.

China dilaporkan telah meningkatkan kawalan tentera laut berhampiran kepulauan yang dituntut bersama Filipina dan Jepun.

Selain tuntutan bertindih, Obama dijangka turut membangkitkan isu tenaga dan perubahan cuaca selain perkembangan program kerjasama trans-pasifik melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia.