Kerajaan Lubnan masih gagal menemui jalan penyelesaian bagi menangani masalah sampah yang semakin meruncing di Beirut.

Ia sehingga mengakibatkan pentadbiran kerajaan lumpuh dan pertelingkahan di kalangan ahli politik Lubnan ekoran tunjuk perasaan yang berlarutan dan jawatan presiden yang telah dikosongkan selama lebih setahun.

Ribuan penunjuk perasaan di Beirut telah berarak sambil melaungkan slogan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada yang mirip kepada yang berlaku pada kebangkitan arab spring di Mesir.

Tunjuk perasaan besar-besaran itu telah menyaksikan ramai antara mereka yang cedera akibat bertempur dengan pihak berkuasa yang cuba mengawal keadaan.

Polis telah menggunakan gas pemedih mata dan pancuran air bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang membantah pentadbiran yang didakwa gagal dan korup itu.

Penduduk di Beirut berang dengan keadaan semasa di bandar itu yang kini dipenuhi timbunan sampah akibat penutupan tapak pelupusan lebih sebulan lalu.

Selain pentadbiran kerajaan perpaduan yang korup, Lubnan dilihat buntu tanpa pembuat keputusan sebenar, iaitu presiden.

Ini kerana jawatan presiden telah kosong di Lubnan selama lebih setahun dan kerajaan perpaduan negara telah mengekalkan kedudukan kuasa pusat di negara itu.

Lanjutan peperangan negara jiran Syria, parlimen yang dipilih di Lubnan telah melanjutkan tempohnya atas alasan ketidakstabilan serantau dan telah menangguhkan pilihan raya parlimen sehingga 2017.