Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh apabila pesawat tentera terhempas pada Sabtu.

"Terdapat sekurang-kurangnya tiga orang mati dan dua cedera parah," kata seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan.

Pesawat Airbus A400M yang membawa di antara lapan hingga 10 orang itu terhempas berhampiran Seville di selatan Sepanyol ketika ujian penerbangan.

"Pesawat itu terhempas di utara satu batu dari Lapangan Terbang Seville di kawasan bukan kediaman. Ia bukan sebuah pesawat komersial," kata jurucakap itu lagi.

Sementara itu, lapangan terbang Seville, selatan Sepanyol yang selalu sibuk telah ditutup operasinya Sabtu selepas nahas, kata pihak berkuasa lapangan terbang (AENA).

"Lapangan Terbang Seville ditutup kepada lalu lintas. Anggota bomba berada di tempat kejadian kemalangan di luar kawasan," kata AENA.

Sumber Penerbangan mengesahkan pesawat itu merupakan satu daripada pesawat baharu tentera Airbus A400M yang dibina di sebuah kilang di Seville.

Pesawat malang itu dirancang diterbangkan ke Turki.

Satu pasukan pakar telah dihantar ke lokasi kemalangan.