Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan pejabatnya menerima dokumen manifesto oleh pengganas insiden Christchurch warga Australia, Brenton Tarrant, 28, sembilan minit sebelum serangan bermula.

Begitupun beliau berkata, dokumen itu tidak mempunyai maklumat tentang lokasi serangan bakal dilancarkan.

"Ia tidak menyatakan lokasi atau perincian mengenai serangan berkenaan, (bagaimanapun) ia diserahkan kepada pihak keselamatan dua minit selepas ia diterima," jelas Ardern.

Selain ke Pejabat Perdana Menteri, salinan manifesto itu turut dihantar kepada 30 penerima lain.

Ardern turut mengesahkan undang-undang senjata api negara itu akan dipinda susulan serangan pengganas di masjid Christchurch pada Jumaat.

Bagaimanapun sebarang perubahan dalam dasar dan undang-undang akan mengambil masa.

Pada masa sama, beliau tidak menjawab sama ada Kabinet akan berbincang mengenai cadangan pengharaman senjata semi-automotik serta pendaftaran pemilikan senjata.

Sementara itu, mayat mangsa akan dikembalikan kepada keluarga mereka bermula malam Ahad sehingga Rabu.

Beliau turut memaklumkan satu upacara memperingati mangsa keganasan itu akan diadakan di Parlimen pada Selasa.