SANGGUP dibenci penduduk, Datuk Bandar Tegal, Jawa Tengah laksana perintah berkurung pertama di Indonesia selama empat bulan untuk melindungi penduduknya daripada jangkitan COVID-19.

“Rakyat harus faham mengapa langkah ini diambil. Kalau saya perlu pilih, lebih baik saya dibenci daripada maut menjemput mereka,” kata Datuk Bandar Tegal Dedy Yon Supriyono pada Rabu.

Menurut portal berita tempatan Kompas, semua akses keluar masuk bandar di Jawa Tengah itu ditutup mulai 30 Mac hingga 30 Julai 2020.

Ia susulan kes pertama dikesan di Tegal membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Abu Dhabi dan Jakarta sebelum pulang ke bandar berkenaan.

Pesakit tersebut dimasukkan ke Hospital Kardinah pada 16 Mac selepas mengalami simptom seperti demam, batuk dan sesak nafas.

Beliau kemudian disahkan positif koronavirus pada 24 Mac.

“Walaupun berdepan dengan dilema dalam membuat keputusan ini, namun rakyat harus faham bahawa ini untuk kebaikan kita semua,” kata Dedy.

Setakat Jumaat, Indonesia mencatat 1,046 kes positif COVID-19 dan 87 kematian akibat virus tersebut.