Sepp Blatter pada Selasa mengumumkan akan meletak jawatan sebagai presiden FIFA.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang akhbar yang dijalankan dalam keadaan tergesa-gesa di Zurich, Switzerland.

Di bawah adalah kenyataan penuh Blatter:

"Saya telah memikirkan tentang jawatan presiden yang saya pegang dan 40 tahun di mana kehidupan saya terikat dengan FIFA dan bola sepak.

"Saya menghargai FIFA lebih daripada segala-galanya dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk FIFA dan untuk bola sepak.

"Saya rasa bertanggungjawab untuk disenaraikan dalam pemilihan semula presiden, kerana saya percaya ia langkah yang terbaik untuk organisasi ini.

"Pemilihan semula telah tamat tetapi cabaran yang bakal dilalui FIFA masih panjang. FIFA memerlukan kajian semula yang mendalam.

"Walaupun saya mempunyai satu mandat daripada anggota FIFA, saya tidak rasa yang saya memiliki mandat itu daripada seluruh dunia bola sepak - peminat, pemain, kelab, dan mereka yang cintakan bola sepak sebagaimana kami di FIFA.

"Lantaran itu, saya telah membuat keputusan untuk menyerahkan mandat saya dalam satu Kongres Elektif Khas. Saya akan meneruskan tugas-tugas saya sebagai Presiden FIFA sehingga pemilihan tersebut.

"Kongres FIFA yang akan datang akan berlangsung pada 13 Mei 2016 di Mexico City. Tarikh tersebut masih jauh dan saya akan menggesa Jawatankuasa Eksekutif untuk menganjurkan satu Kongres Khas untuk mencari pengganti saya secepat mungkin.

"Ia hendaklah dibuat seiring dengan akta FIFA dan kita mesti memberikan masa yang cukup untuk calon berkempen dan memperkenalkan agenda masing-masing.

"Memandangkan saya tidak boleh dicalonkan, dan tidak terikat dengan sebarang kekangan berkaitan pemilihan, saya akan dapat fokus pada usaha pembaharuan dasar yang lebih luas, lebih daripada apa yang sudah dicapai sebelum ini.

"Selama bertahun-tahun, kami telah berkerja keras untuk melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran, tetapi pada saya usaha ini mesti diteruskan.

"Eksekutif Jawatankuasa merangkumi wakil gabungan yang mana kami tidak mempunyai kawalan, tetapi setiap tindakan mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas FIFA. Kami memerlukan perubahan dari akar umbi.

"Bilangan Jawatankuasa Eksekutif mestilah dikurangkan dan ahli-ahlinya patut dipilih melalui Kongres FIFA. Integriti semua ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif mesti diteliti secara berpusat melalui FIFA dan bukan melalui gabungan.

"Kita perlukan had masa bukan sahaja untuk presiden tetapi juga semua anggota Jawatankuasa Eksekutif.

"Saya telah berjuang untuk perubahan ini tetapi, seperti yang diketahui umum, usaha saya tersekat. Kali ini, saya pasti berjaya.

"Saya tidak boleh lakukan semua ini bersendirian. Saya telah minta Domenico Scala menyelia proses pengenalan dan pelaksanaan ini dan langkah-langkah lain.

"En. Scala ialah Pengerusi Audit Berkecuali dan Komiti Pematuhan yang dilantik Kongres FIFA. Beliau juga Pengerusi ad hoc Jawatankuasa Pilihan Raya. Oleh itu, beliau akan mengawasi proses pemilihan pengganti saya.

"En. Scala diyakini dan dipercayai oleh mereka yang berada di dalam dan di luar FIFA. Beliau mempunyai semua pengetahuan dan pengalaman yang untuk membantu pelaksanaan pembaharuan besar-besaran ini.

"Saya amat prihatin tentang FIFA dan kepentingannya, dan ia membuatkan saya mengambil keputusan ini. Saya mahu berterima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong saya secara positif dan setia di belakang saya sebagai Presiden FIFA dan yang begitu banyak berkorban untuk sukan itu yang kita semua cinta.

"Apa yang penting pada saya ialah apabila semua ini berakhir, pemenangnya adalah bola sepak."