Sukan Pantai Asia edisi keenam akan diadakan seperti dirancang di Bandar Sanya, Wilayah Hainan di China hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Majlis Olimpik Asia (OCA), Husain Al-Musallam berkata mereka dimaklumkan oleh pihak berkuasa China bahawa Bandar Sanya secara rasminya bebas daripada jangkitan COVID-19.

Hussain berkata OCA kerap berhubung dengan Jawatankuasa Olimpik China (COC) dan juga jawatankuasa penganjur Sukan Pantai Asia Sanya sejak wabak COVID-19 berlaku di Wuhan, tengah negara China, Disember tahun lepas.

"Ini adalah berita yang menggembirakan buat OCA, 45 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan dan sudah pasti penduduk Bandar Sanya," katanya seperti dipetik dalam kenyataan dikeluarkan OCA, pada Ahad.

COC melaporkan bahawa 6,143 daripada 6,328 orang di Wilayah Hainan yang merupakan kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti sudah dibebaskan daripada pemantauan perubatan manakala 185 orang masih di bawah pemerhatian. Tiada kes baharu dilaporkan selama 25 hari berturut-turut.

Sukan Pantai Asia 2020 dijadualkan berlangsung dari 28 Nov hingga 6 Dis ini.

-- BERNAMA