DALAM hidup, angan-angan sahaja tidak cukup untuk menjadi hebat. Pengetahuan juga perlu untuk mengelakkan kita daripada mengambil tindakan bodoh dan sia-sia.

Seorang lelaki di Amerika Syarikat bercita-cita besar untuk memiliki kereta Ferrari, tetapi nyata masih terlalu naif mengenai hal ehwal kereta mewah.

Portal Mirror.UK melaporkan Israel Perez Rangel bertindak mencuri kereta itu di sebuah pusat servis di Santa Ana, California, dua minggu lalu.

Pihak berkuasa yang memburu Rangel berjaya menahannya selepas dia dilihat mempamerkan tingkah laku yang mencurigakan ketika hendak mengisi petrol kereta itu.

Bukan sahaja dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengisi petrol, malah Rangel juga tidak tahu bagaimana untuk berbuat demikian.

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan Rangel berusaha untuk membuka penutup petrol tank kereta terbabit namun gagal.

Siasatan polis juga mendapati ketika ditemui, kereta berkenaan dalam keadaan tidak terurus.

Sampah ditemui di dalam kereta, selain kerosakan pada kotak gear dan enjin.

Ketika disoal siasat, Rangel bagaimanapun menafikan mencuri kereta itu.

Bagaimanapun, pemilik sebenar Ferrari tersebut tidak perlu risau apabila dia dilaporkan menerima wang tuntutan insuran yang banyak dan telah pun membeli sebuah Lamborghini Harocan edisi 2018, lapor portal The Times.