Kementerian Luar Negeri mengesahkan sehingga kini tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana gempa bumi yang melanda Christchurch, New Zealand pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan terus memantau dan memberikan makluman sewajarnya.

Rakyat Malaysia yang berada di New Zealand juga dinasihatkan agar sentiasa berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dan mematuhi segala arahan serta nasihat keselamatan pihak berkuasa di sana.

Pada Ahad, gempa berukuran 5.8 magnitud melanda bandar Christchurch dengan sekurang-kurangnya satu bangunan terpaksa dikosongkan.

Menurut media tempatan, bunyi siren kedengaran di sekitar lokasi dengan barangan bertaburan di pulau selatan negara itu.

Gempa berkenaan berlaku menjelang sambutan tahun kelima tragedi gempa 6.3 magnitud melanda Christchurch yang mengorbankan 185 nyawa yang dianggap bencana paling dahsyat di New Zealand.

Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan, gempa terbaharu berukuran 5.8 magnitud itu pada kedalaman 8 kilometer (km) dan berpusat di 17 km di barat bandar raya berkenaan.