Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa akan menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan agensi persekutuan untuk membuat perubahan atas program visa sementara yang selama ini digunakan untuk membawa masuk pekerja asing ke AS bagi mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dua pegawai pentadbiran Trump yang menemui media di White House berkata, Trump juga akan menggunakan perintah 'buy American and hire American' (beli barangan Amerika, ambil warga Amerika bekerja) sebagai perubahan dalam amalan perolehan kerajaan dalam usaha meningkakan pembelian produk-produk AS dalam kontrak persekutuan.

Trump dijangka menandatangani perintah itu semasa melawat ibu pejabat Snap-On Inc (SNA.N), iaitu syarikat pengelua perkakasan di Kenosha, Wisconsin.

Perintah berkenaan adalah usaha Trump untuk memastikan kempen 'America First' berjalan lancar selain untuk membuat perubahan atas polisi imigresen AS, selain menggalakkan pembelian produk Amerika.

Menjelang 100 hari beliau menjadi Presiden, Trump masih belum meraih sebarang pencapaian perundangan yang besar namun telah menggunakan perintah-perintah eksekutif untuk membantu ekonomi negaranya.

Perintah yang akan ditandatangani pada Selesa akan fokus kepada 'penguatkuasaan ketat kesemua undang-undang yang mengawal kemasukan buruh ke AS dari luar negara bagi tujuan untuk mewujudkan gaji yang tinggi dan kadar peluang pekerjaan yang tinggi kepada pekerja di AS'.

Ia akan menyeru Jabatan Buruh, Jabatan Keadilan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Negara AS dan untuk mengambil tindakan terhadap kes 'penipuan dan penyelewengan' dalam sistem imigresen AS untuk melindungi pekerja-pekerja di AS.

Perintah itu akan menyeru keempat-empat jabatan itu untuk mencadangkan pembaharuan demi memastikan visa H-1B diberikan kepada pemohon yang paling mahir dan menerima gaji tertinggi.