Berita  |  Hiburan

Akhirnya Disney berjaya 'temui' Aladdin dan Jasmine

Akhirnya Disney berjaya 'temui' Aladdin dan Jasmine
Mena Massoud dan Naomi Scott masing-masing bakal membawakan peranan Aladdin dan Jasmine. Foto Instagram
BARU sahaja media melaporkan kesukaran yang dilalui Disney untuk mencari aktor sesuai bagi watak Aladdin, syarikat produksi itu telah mengumumkan pelakon-pelakon yang akan terbabit menjayakan filem live action itu.

Portal media antarabangsa melaporkan, aktor muda, Mena Massoud, akan memegang watak utama sebagai Aladdin.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Walt Disney, Sean Bailey, dalam satu acara di California, pada Sabtu.

Massoud berasal dari Mesir, namun dibesarkan dan menetap di Kanada.


Seperti dijangka, watak Jasmine pula diberikan kepada Naomi Scott, yang sebelum ini dikenali dengan watak Pink Ranger dalam filem Power Rangers yang menemui penonton Mac lalu.

Scott yang berdarah keturunan India-British, menewaskan dua pesaingnya untuk watak tersebut, Tara Sutaria dan Jade Thirlwall.


Sementara itu, aktor Will Smith pula disahkan akan membawa watak Genie.

Filem yang akan diarahkan oleh Guy Ritchie akan memulakan penggambaran Ogos ini.