Ayu Damit kumpul saham akhirat ...

Ayu Damit kumpul saham akhirat ...
Bakal bergabung dengan Liza Hanim dan Nourul Depp untuk menjayakan majlis makan malam amal A Night of Hope anjuran National Diabetes Institute (NADI), Ayu teruja ingin menghiburkan kanak-kanak yang sakit. - Foto Astro GEMPAK
PENYANYI Ayu Damit tidak berkira mengenai bayaran yang diterima jika menjayakan tawaran nyanyian yang memberi manfaat untuk aktiviti amal.

"Setakat ini, saya tak pernah berkira dengan bayaran untuk menjayakan showcase berbentuk kebajikan. Asalkan setimpal, saya akan menerima tawaran tersebut jika ada kepalangan waktu.

"Saya rasakan perkara itu sebagai saham akhirat untuk saya. Ini merupakan salah satu cara untuk saya menyumbang kepada komuniti dan menghiburkan mereka yang memerlukan.
"Alhamdulillah, tawaran nyanyian itu sentiasa ada. Saya bersyukur kepada Allah kerana masih ada rezeki untuk saya dalam bidang ini.

"Harga saya juga tidaklah terlalu mahal, semuanya bergantung kepada pengajur dan bajet yang disediakan. Tetapi saya tak berkira jika menjayakan sesuatu persembahan amal," katanya.

Bakal bergabung dengan Liza Hanim dan Nourul Depp untuk menjayakan majlis makan malam amal A Night of Hope anjuran National Diabetes Institute (NADI), Ayu teruja ingin menghiburkan kanak-kanak yang sakit.

"Majlis makan malam amal itu diadakan untuk mengisi tabung perubatan kanak-kanak diabetes jenis satu menerusi penjualan meja dan bakal diadakan pada Sabtu (21 April) bermula jam 8 malam di Palace of The Golden Horses.

"Ini merupakan pengalaman kedua saya terlibat dengan acara NADI dan saya sangat teruja untuk terus bekerjasama dalam majlis ini," kata Ayu lagi.

Terdapat beberapa pembahagian penjualan meja amal yang boleh memuatkan 10 individu iaitu Platinum (RM12,500), Gold (RM10,500), Silver (RM8,500) dan Bronze (RM6,500) dan meja biasa (RM3,000).