RATU Cantik Perancis, Iris Mittenaere, dimahkotakan sebagai pemenang dalam pertandingan Miss Universe yang berlangsung di Arena Mall of Asia, Manila, sebentar tadi.

Iris, 23, menewaskan 85 peserta dari seluruh dunia untuk menjadi pemegang gelaran tersebut yang ke-65.

Tempat ketiga menjadi milik Ratu Colombia, Andrea Tovar manakala Ratu Haiti, Raquel Pelissie, dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua.

Iris yang merupakan bakal doktor gigi mengambil alih gelaran itu daripada pemenang sebelum ini, Pia Wurtzbach, dari Filipina.

Dalam soalan terakhir, ketika ditanya tentang pengajaran yang diperolehi selepas melalui kegagalan, kata Iris, apa yang penting adalah semangat untuk kembali bangkit dan berbangga kerana kegagalan akan mengajar seseorang untuk lebih kuat pada masa hadapan.

Kali terakhir Ratu Perancis memenangi Miss Universe adalah pada tahun 1953.

Turut diumumkan adalah pemenang kostum kebangsaan terbaik, iaitu Myanmar.

Malaysia pula diwakili anak jati Kuala Lumpur berusia 21 tahun, Kiran Jassal.