Apa yang anda sanggup lakukan untuk mendapatkan tiket ke konsert BTS?

Seorang pelajar berusia 19 tahun dari Toronto, Kanada yang hanya dikenali dengan nama Alexis, menggunakan 24 buah komputer iMac di makmal komputer sekolahnya dalam usaha untuk membeli tiket ke konsert jelajah Speak Yourself.

BuzzFeed News melaporkan, ini bukan kali pertama Alexis cuba mendapatkan tiket dengan cara sedemikian. Bagaimanapun, percubaannya kali ini sangat sukar kerana laman web pembelian tiket itu dilaporkan mengalami masalah teknikal beberapa kali.

Usahanya tidak sia-sia kerana Alexis akhirnya berjaya membeli dua keping tiket ke konsert BTS di London.

BACA: Konsert BTS di Singapura, aksi Jimin jatuh terlentang 'gamatkan' netizen


Live tweet yang dikongsi Alexis menjadi tular, dengan ramai memuji dedikasinya dalam usaha untuk mendapatkan tiket-tiket berkenaan.

"Ini bukan kali pertama bagi saya untuk menyaksikan BTS secara langsung kerana saya sudah pernah menonton mereka dalam konsert Love Yourself.

"Saya mula mengenali BTS pada 2017 dan ia mengubah hidup saya," katanya kepada portal tersebut.