Perbicaraan kes nusyuz yang difailkan oleh Mohd Edy Casmadi Che Hussain, 34, terhadap isterinya Sari Yanti Mohamad Nazari, 30 telah ditetapkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Rabu lalu pada 17 Disember depan.

Tarikh itu ditetapkan selepas Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah membenarkan permohonan kedua-dua pihak untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.

Peguam Syarie yang mewakili Sari Yanti, Marlina Amir Hamzah, memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan afidavit pembelaan kes itu minggu hadapan.

Beliau berkata ini adalah kerana berikutan terdapat beberapa perkara yang masih dalam perbincangan bersama anak guamnya.

Peguam Syarie yang mewakili Mohd Edy turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan afidavit jawapan pembelaan pada 4 November.

Mahkamah telah menolak bantahan awal Sari Yanti dengan kos RM500 pada 8 September lalu.

Sari Yanti memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003, pada 25 Februari lalu.

Pada 7 Mac, Mohd Edy kemudian memfailkan nusyuz ke atas Sari Yanti di bawah Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.