Penyanyi pop Indonesia yang turut popular di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, Eddy Silitonga, 65, meninggal dunia awal hari ini setelah dua minggu dimasukkan ke Hospital Fatmawati di Jakarta Selatan kerana menderita diabetes kronik.

Anak lelaki Eddy, Marco mengumumkan kematian ayahnya itu di laman sosial sebelum disiarkan oleh media online dan televisyen tempatan.

"Ayah saya, Eddy Silitonga meninggal dunia pada pukul 12.05 pagi tadi di Rumah Sakit Fatmawati, Jakarta Selatan," kata Marco dalam kenyataannya di sebuah laman sosial.

Antara lagu-lagu Eddy yang dipopularkan oleh artis Malaysia ialah "Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu" nyanyian Aishah.

Lagu-lagunya yang lain sering diperdengarkan Radio Malaysia ialah Bunga Tanjong, Lancang Kuning, Bunga Pujaan dan Jatuh Cinta.

Penyanyi itu dikejarkan ke Hospital Fatmawati dua minggu lepas setelah mengadu sesak nafas.

Pihak hospital mengesahkan mendiang meninggal awal pagi tadi akibat komplikasi diabetis dan masalah jantung.

Eddy berasal dari Permatang Siantar, Sumatera Utara.