PENYANYI rap Amerika Syarikat, Nelly ditahan berhampiran Seattle, pada Sabtu selepas seorang wanita mendakwa penyanyi itu merogolnya di dalam sebuah bas jelajah.

Menurut kenyataan polis, wanita itu dilapor telah menghubungi talian kecemasan 911 untuk melaporkan insiden terbabit ketika bas itu berada di tempat meletak kenderaan sebuah pusat membeli-belah di Auburn.

Nelly, yang terkenal dengan lagu-lagu popular seperti 'Ride Wit Me,' 'Hot in Herre' dan 'Dilemma,' dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas melakukan persembahan jelajah di Auburn bersama kumpulan pop Florida Georgia Line.

Memetik laporan Reuters, Nelly ditahan awal pagi Sabtu dan dibawa ke penjara South Correctional Entity Regional Jail di Washington.

Bagaimanapun, Nelly atau nama sebenarnya Cornell Iral Haynes dibebaskan pada hari yang sama selepas selesai sesi soal siasat.

Penyanyi rap yang berusia 42 tahun itu kemudiannya berkongsi rasa kecewa atas tindakan fitnah itu di laman sosial Twitter.

Nelly berkata beliau tidak bersalah, malah terkejut dengan tuduhan itu.

“Saya yakin bahawa selepas selesai siasatan lanjut, ia akan jelas bahawa saya adalah hanya mangsa tuduhan palsu, " tweet Nelly pada petang Sabtu.



Pemenang Grammy itu juga mengucapkan terima kasih kepada peminatnya atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.

“Mereka kenali saya. Saya janji saya akan membuktikan saya tidak bersalah dan saya janji saya akan mengambil segala tindakan undang-undang terhadap tuduhan palsu itu,” katanya lagi.


Tambah Nelly, beliau dibebaskan tanpa ikat jamin kerana tiada dakwaan jenayah dikeluarkan.