Rentetan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dilakukan pelakon Abby Abadi terhadap suaminya Muhammad Noor Farhan pada Khamis, pelakon tersebut akui masih menyayanginya suaminya itu.

Menurut Abby dia tidak mahu hubungan mereka berakhir dan menyerahkan semuanya pada kuasa Allah. Dia turut menyifatkan hubungan mereka di tahap yang sukar kerana tiada usaha dari Farhan. Malah dia juga sedar, kemungkinan bercinta selepas berkahwin adalah juga salah satu punca keretakan rumahtangga mereka.

“Saya sayang sangat dengan dia, tapi saya tak nampak jalannya. Jadi pada siapa-siapa di luar sana yang sudah berkahwin dan kalau bergaduh janganlah berpisah.

“Saya tidak tahu pendirian dia. Kami kenal pun selepas kahwinkan? Jadi dalam masa 10 bulan perkahwinan itu, masih banyak lagi yang saya tidak tahu tentang dia. Begitu juga dia yang tak faham dengan saya. Kalaulah ditakdirkan tidak ada jodoh lagi…saya pun saya pun tidak mahu bebankan hidup dia.

"Kalau boleh jika perkara ini berlaku pada orang lain, janganlah tinggal begitu sahaja. Sebab saya rasa sedikit teraniaya. Saya akan terus berusaha semampunya. Saya pun tidak pasti apa yang saya boleh buat selepas ini. Kalau nampak dia dah terlalu tidak mahu, saya pun tidak mahu memaksa.

“Saya cuba untuk betulkan keadaan apa lah daya saya kalau dah takdir berakhir begini. Saya mengharapkan doa dari orang lain sebab saya tahu bukan saya seorang sahaja yang sayangkan hubungan ini,” kata Abby kepada wartawan ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Kata Abby lagi, jarak umur yang jauh dan respon kurang matang oleh Farhan antara sebab keruntuhan rumahtangga mereka.

Selain itu Farhan juga tidak pulang ke rumah selama 3 minggu selepas berselisih faham dan tidak berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka.

“Dia terlalu muda untuk diletakkan bersama saya, itu yang saya rasa. Pada saya ketika saya berusia semuda dia, banyak perkara lagi yang saya tak faham. Saya juga nampak lelaki ni lambat matang kan?”,ujarnya.

Bagaimanapun Farhan tidak memberi sebarang komen kepada wartawan.

Abby dan Farhan berkahwin pada 9 Julai 2013 di Selatan Thailand yang kemudian disahkan di Kelantan.

Abby juga pernah berkahwin dengan pelakon Norman Hakim sebelum bercerai pada tahun 2008. Norman dan Abby dikurniakan tiga orang anak sepanjang tempoh perkahwinan mereka iaitu Mohamed Danish Hakim, 14 tahun, Marissa Dania Hakim,12 tahun, dan Maria Danisha Hakim, 9 tahun.

Mereka disahkan bercerai talak satu di dewan perbicaraan yang sama di Mahkamah Syariah Gombak Timur pada tahun yang sama. -- Astro Gempak