ANTARA pelbagai berita dari dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah 10 berita yang paling mendapat tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 9 November 2019.

1) Astro AWANI kekal antara jenama berita paling dipercayai

Kajian tahunan oleh Institut Kajian Berita Digital Reuters baru-baru ini mendedahkan senarai jenama berita yang paling dipercayai bagi tahun 2019.

Astro AWANI berjaya kekal pada tempat kedua sejak laporan tahun lepas, diikuti NTV7 dan TV3, masing-masing pada tempat ketiga dan keempat, manakala tempat pertama diduduki oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

2) Sambutan Maulidur Rasul disemarakkan dengan memperingati pengorbanan Rasulullah

Umat Islam hari ini menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul tahun ini dengan acara perarakan dan berselawat sambil memperingati pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan Islam.

Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera', disambut secara sederhana di seluruh negara dengan penuh keinsafan dan penghayatan.

3) Tidak sempat kenduri, angin ribut terbangkan persiapan

"Hanya dalam masa lima saat, bumbung rumah saya hilang."

Demikian diceritakan ibu tunggal, Azizah Ismail, 51 tahun, susulan angin kencang yang melanda kawasan tempat tinggalnya di Kampung Dulang Kechil, hari ini.

4) 'Kenyataan di luar konteks, video penuh lebih 20 minit' - Ahmad Faizal

Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan video tular perbualannya bersama pengundi di Tanjung Piai Johor, mengenai sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, telah dipetik di luar konteks sebenar.

5) Kematian Mohammad Aimin: Cemburu dipercayai punca pergaduhan

Cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh dekat sini, yang berakhir dengan kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun, Mohammad Aimin Nurul Amin pada Khamis lepas.

6) Remaja maut dalam nahas babitkan treler bawa batu-bata

Seorang pemandu lelaki maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah treler muatan batu-bata dan sebuah kereta jenis Proton Saga, selepas simpang Karai hari ini.

7) Taufan Bulbur dijangka badai Bangladesh malam ini, ratusan ribu dipindahkan

Kira-kira 100,000 penduduk yang tinggal berdekatan persisiran pantai dan pulau di Bangladesh dipindahkan ke kawasan selamat susulan Taufan Bulbul dijangka membadai negara itu pada Sabtu malam.

8) Pemimpin pembangkang Kemboja hidup dalam buangan tiba di Kuala Lumpur

Pemimpin parti pembangkang Kemboja yang hidup dalam buangan, Sam Rainsy selamat mendarat di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Lapor agensi berita AP, Pengasas Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) itu tekad untuk kembali ke Kemboja walaupun terdapat cubaan oleh Perdana Menteri Hun Sen untuk menghalangnya.

9) MetMalaysia keluar nasihat Ribut Tropika Nakri

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat Ribut Tropika (Nakri) yang dijangka melanda kawasan perairan Sabah.

10) John dan Charlotte Henderson, pasangan suami isteri paling tua di dunia

Dengan gabungan usia 211 tahun, sepasang suami isteri di Austin, Texas, Amerika Syarikat dinobat sebagai pasangan tertua di dunia, menurut Guiness World Records.