MELAKA: Seramai 153 pelajar dari tujuh sekolah termasuk sebuah sekolah berasrama penuh disahkan positif COVID-19, sekali gus mencetuskan kluster pendidikan di Melaka.

Exco Pendidikan Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, daripada tujuh sekolah itu, Kolej Vokasional Melaka Tengah mencatat bilangan teramai iaitu 107 pelajar dijangkiti.
 
Katanya, ia diikuti Kolej Vokasional Jasin seramai 25 pelajar, Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Muhammad, 12 orang, dan masing-masing seorang di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, SMA Sayyidah Siti Khadijah, SMA Darul Falah dan SMA Sharifah Rodziah.

Ekoran itu, beliau meminta semua sekolah di Melaka mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP), bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.
 
“Kalau kita lihat jumlah yang paling besar adalah daripada Kolej Vokasional Melaka Tengah, yang mana semua mereka ini telah dibawa ke PKRC MITC. Sekolah juga akan dibuka kembali esok tapi di Sekolah Sultan Muhammad ditutup sehingga 27 Januari,” ujar Rais.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan limau dan angpau kepada lebih 100 penduduk Tionghua di Tanjung Minyak hari ini.

Mengulas lanjut, ujar Rais, Kolej Vokasional Melaka Tengah yang ditutup sejak dua minggu lalu akan dibuka semula esok dengan hanya 120 pelajar dibenarkan bersekolah secara bersemuka.

Manakala selebihnya akan mengikuti pembelajaran menerusi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
 
Ujarnya, kesemua pelajar yang disahkan positif kini dikuarantin sama ada di asrama sekolah masing-masing atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Tambah beliau, pihaknya sedang berhubung rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 di sekolah negeri berkenaan terkawal.