Tarikh 16 Mei 2018 dianggap sebagai titik permulaan revolusi sebenar bagi dunia politik Malaysia selepas pembebasan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Gary Lee, 31 tahun, dia menyifatkan pembebasan Anwar pada hari ini amat bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan perubahan dalam arena politik.

"Bagi saya sebagai satu perubahan untuk dalam politik lah sebab kita kenal Datuk Anwar ni adalah salah satu ahli politik yang berwibawa.

Anwar Ibrahim , Bebas, Sabah

"Yang kedua, beliau (Anwar) punya matlamat berpandangan jauh, terutama sekali sektor ekonomi di Malaysia," katanya kepada pemberita Astro AWANI hari ini.

Sementara itu, Shameer Khan Sulaiman, 32 tahun seorang penjawat awam di negeri ini berkata walaupun berada di Sabah, dia teruja dengan momen bersejarah buat rakyat di negeri ini.

Menurut Shameer, pembebasan Anwar hari ini akan mengangkat satu lagi tampuk pembaharuan dalam gelanggang politik di negeri ini.

"Saya amat teruja biarpun berada di Sabah dan kita amat menanti-nantikan apa peranan beliau (Anwar) dalam dunia politik di Malaysia," katanya.
Shameer Khan Sulaiman, 32 tahun

Tambah Shameer lagi, pembebasan Anwar akan memberi impak positif bukan sahaja kepada dunia politik di Malaysia malahan kepada persepsi negara luar mengenai negara ini.

"Seperti yang kita tahu, ia akan memakan masa untuk menentukan peranan atau jawatan Datuk Seri Anwar dalam politik di negara ini.

"Tetapi, saya yakin bahawa beliau akan membawa suatu prubahan yang lebih baik kepada Malaysia secara keseluruhannya," katanya.