48 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Che Tom di Sungai Petani, mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati sarapan pagi di asrama sekolah berkenaan pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda menerima maklumat kejadian loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut dalam kalangan murid sekolah terbabit pada 9.15 pagi melalui Klinik Kesihatan Bakar Arang dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada 9.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati 48 pelajar terlibat, dengan 44 pelajar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bakar Arang manakala empat lagi pelajar berada di zon kuning dan zon hijau, dan dirawat di Jabatan Kecemasan HSAH.

"Semua pelajar diberi rawatan sebagai pesakit luar manakala empat pelajar yang dirawat di HSAH dibenarkan pulang pada 2.30 petang tadi," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata siasatan awal mendapati pelajar mula mengalami simptom loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut padal 7 pagi selepas menikmati nasi goreng yang dimakan di asrama pada 6.45 pagi.

"Bilangan pelajar yang terdedah seramai 156 orang iaitu pelajar asrama perempuan Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca kejadian ini," katanya.

Katanya Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan pengesanan kes di sekolah dan pemeriksaan dapur asrama diperintah tutup di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

-- BERNAMA