Lebih 5,000 peserta berkumpul menjayakan program Malaysia #QuranHour yang bermula tepat jam 12 tengah hari tadi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah disusuli surah al-Baqarah oleh Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat.

Peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur yang datang dari segenap Malaysia - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan 24 surah oleh 24 tokoh seperti Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, Pencetus Ummah Amin, Azmi Saat dari Caliph Buskers dan Pengerusi Majlis Dakwah Negara Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid.

Berangkat sama dalam majlis penuh bersejarah ini ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Berangkat sama dalam majlis penuh bersejarah ini ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Baginda diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Turut menjayakan program Malaysia #QuranHour adalah wakil dari agensi, pelajar sekolah, kolej serta orang awam.