57 lagi pelajar telah dikesan menghidap gejala penyakit seperti influenza (ILI) di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) di sini

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata pelajar yang terdiri daripada 41 lelaki dan 14 perempuan itu merupakan pelajar asrama sekolah terbabit.

"Kesemuanya telah dirawat sebagai pesakit luar dan 29 daripada mereka terdiri daripada 16 lelaki dan 13 perempuan kini diisolasi di asrama serta dalam keadaan stabil.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan kes-kes baru di kalangan pelajar yang tinggal di asrama dan juga pelajar harian," kata beliau dalam kenyataan yang baru dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah beliau sebanyak 15 sampel juga telah diambil untuk memasrikan jenis jangkitan ILI tersebut.

"Seramai 428 pelajar telah terdedah dengan jangkitan berkenaan di sekolah tersebut, 228 orang pelajar asrama dan 200 pelajar harian," ujar beliau.

Pada pagi Jumaat, Mah telah memberitahu seramai 216 pelajar di tiga sekolah di Ipoh, telah disahkan terkena jangkitan Influenza A (H3) atau selesema bermusim.

Beliau berkata kesemua pelajar yang dikesan terkena jangkitan itu adalah seramai 129 pelajar dari Sekolah Raja Perempuan Taayah (SRPT), 84 pelajar Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) dan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang.

Jelas beliau, jangkitan tersebut telah disahkan selepas Jabatan Kesihatan negeri melakukan analisis terhadap 12 sampel di SRPT dan STAR.