Seorang pengguna Facebook hari ini berkongsi pengalaman berhadapan dengan letupan bateri telefon pintar Note 7.

Dalam kiriman Facebook yang bernada sinis, Robson Ng mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Samsung kerana memberikan pengalaman kepadanya menangani situasi telefon meletup di dalam kereta.

Menurut Robson, insiden tersebut berlaku pada jam 4 pagi hari ini ketika dia memandu di lebuhraya.

Selepas telefon meletup, api dan asap mula merebak di dalam kereta.

Note 7 milik Robson Ng yang meletup - Foto Facebook/Robson Ng

Robson berjaya menghentikan kereta di bahu jalan tanpa sebarang kemalangan walaupun penglihatan terhad dan sesak nafas disebabkan asap.

Astro AWANI masih cuba menghubungi Robson untuk butiran lanjut.

Dalam satu kenyataan media pada 12 Oktober, Samsung Malaysia telah menggesa para pengguna yang memiliki Note 7 untuk mematikan peranti tersebut serta-merta.

Tambah Samsung, para pelanggan pra-pesanan akan menerima pulangan wang atau menggantikan Note 7 dengan model S7 Edge sekiranya telefon tersebut dipulangkan.