Baru-baru ini seorang bekas pelajar saya telah meminta komen saya berkenaan kemelut politik yang baru berakhir dengan perlantikan Perdana menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Ini komen ringkas saya: “Walaupun mungkin akan berlaku pergerakan jangka pendek dalam pasaran saham atau pasaran matawang asing (yakni sama ada kejatuhan atau kenaikan nilai), namun di dalam jangka panjang persekitaran ekonomi Malaysia akan senantiasa bermasalah kerana sektor perbankan masih semakin berkembang dan ahli masyarakat dan organisasi senantiasa menambahkan kepada hutang mereka”.

Apa yang saya maksudkan di atas ialah punca utama masalah ekonomi kita ialah sistem yang tidak betul kerana bersandarkan kepada industri hutang. Oleh sebab itulah, maka walaupun kerajaan silih berganti, namun masalah ekonomi tetap tidak dapat diselesaikan. Dahulu kerajaan BN yang memerintah selama puluhan tahun telah diganti oleh kerajaan PH. Ramai menyangka bahawa oleh kerana kerajaan yang mempunyai reputasi dipimpin oleh ahli politik yang korup telah digantikan dengan pemimpin yang lebih bersih, maka masalah kos sara hidup akan selesai. Tetapi kita semua tahu bahawa masalah harga rumah dan barangan lain yang tinggi masih tidak dapat diselesaikan. Begitu juga upah atau gaji pekerja masih tidak mencukupi.

Sekarang kita akan masuk ke era kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun oleh kerana sistem ekonomi dan kewangan kita masih tidak berubah dan masih bergantung kepada industri hutang apa yang pasti ialah masalah ekonomi kita juga akan tetap tidak akan dapat diselesaikan.

Apa yang masyarakat kita harus sedari ialah apabila industri hutang berkembang maka jumlah hutang oleh isi rumah, kerajaan dan organisasi perniagaan juga akan bertambah. Sekarang ini, jumlah hutang tersebut ialah lebih dari RM3 trillion (atau RM3 ribu billion). Ini merupakan beban yang besar yang ditanggung oleh mereka. Kerajaan yang menanggung hutang lebih dari RM1 trilion (yakni termasuk jaminan kerajaan kepada hutang syarikat GLC) akan keberatan untuk menaikkan gaji atau upah dan mengambil kakitangan baru sekali gus mengurangkan peluang pekerjaan kepada graduan yang baru keluar dari universiti. Begitu juga keadaan yang dihadapi oleh organisasi swasta. Mereka juga menanggung beban hutang yang tinggi disamping menghadapi persaingan yang sengit. Oleh itu mereka juga keberatan menaikkan gaji dan upah dan mengambil pekerja baru. Bahkan banyak organisasi mengambil buruh asing untuk menjimatkan kos walaupun ramai rakyat tempatan kita masih menganggur.

Pada masa yang sama, isi rumah yang telah mengambil pinjaman perumahan, kereta dan lain-lain menghadapi beban untuk membayar hutang-hutang tersebut yang secara keseluruhan sekarang berjumlah lebih dari RM1.03 trillion. Adalah tidak menghairankan jika sesebuah isi rumah yang dalam kategori M40 menghadapi situasi berhutang lebih dari RM500 ribu atau lebih jika membeli rumah dan kereta dengan berhutang. Di kalangan B40 pun, mereka juga mungkin mempunyai beban huatng yang dalam jumlah ratusan ribu Ringgit juga jika membeli kereta baru dan rumah.

Apa yang ramai dari ahli masyarakat juga tidak sedar ialah jika hutang ini diperolehi dari sistem perbankan, maka setiap kali urusniaga hutang berlaku, matawang baru akan diciptakan. Dalam keadaan hutang sentiasa meningkat, matawang baru berjumhlah hampir RM10 bilion dicipta setiap bulan. Apabila matawang baru ini dicipta dengan kadar yang begitu cepat, yakni lebih cepat berbanding kadar penambahan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, maka nilai matawang tersebut akan menurun. Inilah yang dikatakan inflasi. Hasilnya gaji dan upah yang diperolehi tidak mampu menyara hidup seseorang. Oleh kerana itulah sekarang ini kita dapati bahawa jika sesebuah keluarga di Bandaraya Kuala Lumpur memperolehi pendapatan RM2 ribu sebulan secara total, keluarga tersebut masih menghadapi suasana kehidupan yang sulit. Apa tidaknya, sewa sebuah apartmen murah dua bilik di Petaling Jaya adalah tidak kurang dari RM1 ribu sebulan. Ini bermakna separuh dari pendapatan mereka sudah pun habis. Hanya tinggal RM1 ribu sahaja untuk membayar kos pengangkutan, kos makanan, yuran persekolahan anak, buku dan pakaian dan lain-lain keperluan hidup. Sudah tentu RM1 ribu adalah tidak mencukupi. Inilah yang dikatakan masalah sara hidup (atau cost-of-living).

Sebagai rumusan, jika kita ingin melihat suasana ekonomi kita bertambah baik, kita perlu merubah sistem ekonomi dan kewangan kita supaya ia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada industri hutang. Nilai masyarakat kita juga perlu berubah, yakni perlu berhenti dari berbelanja di luar kemampuan dengan menggunakan duit yang dihutang dari industri perbankan atau industri hutang. Kita perlu sedar bahawa jika kita perlu berhutang untuk membeli sesuatu, ia bermakna barangan tersebut ialah di luar kemampuan kita. Sesungguhnya suasana ekonomi masyarakat kita hanya akan berubah apabila sistem kita tidak lagi bersandarkan industri hutang dan TIDAK akan berubah hanya dengan perubahan Perdana Menteri atau kerajaan semata-mata.


* Prof Mohd Nazari Ismail bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya. Beliau telah menghasikan beberapa buku, yang terkini bertajuk “Membujur Lalu Berhutang Parah – Kesan Industri Perbankan Ke atas Masyarakat global”.

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.