Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera dalam rusuhan di kuil kuil Sri Maha Mariamman, Subang telah menunjukkan peningkatan dari segi pemulihannya sejak 72 jam yang lalu.

Malah, Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, dia kini sudah mampu menulis menggunakan papan putih.

Menurut IJN, pasukan pakar perubatan ECMO turut memaklumkan, sistem 'Veno-Venous ECMO' padanya juga telah dikeluarkan.

“Adib telah mengikuti program rehabilitasi kardio-pulmonari yang komprehensif yang telah disediakan oleh ahli-ahli pasukan jururawat, fisioterapi dan pakar nutrisi pemakanan.

“Walau bagaimanpun Muhammad Adib kini masih memerlukan sokongan pernafasan dengan mesin ventilator dan mesin dialisis.

BACA: Keadaan Adib makin baik - IJN

“Latihan pemulihannya akan dipergiat untuk meningkatkan kekuatan otot dan kekuatannya untuk anggota badannya,” kata kenyataan itu lagi.

Muhammad Adib sebelum ini mengalami kecederaan parah selepas dipercayai diserang oleh sekumpulan perusuh sewaktu operasi memadamkan kebakaran beberapa buah kenderaan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya pada 26 November lepas.