Bersempena menjelangnya Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, serta Hari Malaysia pada 16 September ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat menghayati serta menginsafi peristiwa di sebalik dua tarikh bersejarah itu.

Baginda bertitah, semua pihak, baik rakyat mahupun kerajaan yang memerintah, harus meneruskan usaha untuk memperbaiki agenda memperbaharu Malaysia dan memberi kesenangan dan kebebasan kepada rakyat, dengan batasan tertentu.

Ini, titah baginda, amat penting bagi memastikan sensitiviti dan elemen keharmonian antara sesama kaum di negara ini, dapat dijaga sepenuhnya.

“Saya harap juga bagi semua, kalau kita sama-sama menilai pentingnya Hari Merdeka ini, bukan sekadar hari tersebut sahaja. Bukan 31 Ogos semata-mata tetapi, kita harus lihat sejarahnya, macam mana kita memperoleh Merdeka.

"Dan macam mana negara ini maju sepanjang 62 tahun. Lebih daripada itu, kita tengok juga sejarah lama-lama – macam mana Malaysia ditubuh, dan Alhamdulillah kita harus rasa bersyukur kerana kita telah mencapai satu tahap, negara kita yang begitu moden yang maju," titah baginda.

GALERI FOTO: #AgongKita: Bual bicara eksklusif bersama KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin

Baginda bertitah demikian sewaktu ditemu bual Editor Eksekutif Astro AWANI Ashwad Ismail dan Editor Kanan Astro AWANI Cynthia Ng sempena Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 30 Julai ini.


Dalam temu bual itu, baginda juga berdoa supaya kesemua rakyat Malaysia dapat menghayati semangat negara Malaysia, semangat sebagai rakyat Malaysia.

“Dan melalui ini sajalah kita dapat menyatukan semua bangsa, agama, dan melalui ini kita semua dapat hidup dalam keadaan cukup aman dan harmoni.

“Dan mudah-mudahan setiap antara kita dapat merasai kesejahteraan daripada negara kita. Dan inilah impian setiap pemimpin dan setiap raja di negara kita ini. Baik dia orang Pahang ke, orang Perak ke, orang Selangor ke, orang Johor ke, orang Kelantan," ujar baginda.

Tuanku bertitah, adanya kestabilan negara dan rakyat yang bersatu, Malaysia diharap dapat pergi lebih jauh, dan rakyat akan berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai, dan akan capai.



WAWANCARA eksklusif bersama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin akan disiarkan di saluran 501, Astro AWANI pada 30 Julai bermula pukul 9 malam dan turut ditayangkan di saluran 104, Astro RIA, saluran 301 (Astro AEC), saluran 201 (Astro VAANAVIL) dan saluran 110 (Astro HELLO).

Para pelanggan Astro juga berpeluang untuk mengenali sisi Al-Sultan Abdullah yang berbeza menerusi satu tayangan perdana dengan baginda pada 30 Julai ini ditonton di www.astroawani.com/live-tv bermula pukul 12 tengah hari.

Sementara itu, pada hari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini, Astro AWANI akan menayangkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dan sebagai meraikan istiadat kebesaran diraja Melayu ini, kami di Astro AWANI juga akan menyiarkan pelbagai Laporan Khas Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong mulai 26 Julai ini.