Kerajaan Negeri Terengganu menutup sementara kawasan Air Terjun Belukar Bukit di Hulu Terengganu susulan tragedi lima sekeluarga lemas ketika berkelah di kawasan itu Sabtu.

Menteri Besar Terenggau Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau telah mengarahkan Pejabat Daerah Hulu Terengganu menutup sementara kawasan itu daripada dikunjungi orang ramai.

"Saya turut mengarahkan Pejabat Perhutanan untuk mengenal pasti tempat-tempat rekreasi bagi menghalang sebarang aktiviti air terutamanya pada musim tengkujuh sekarang.

"Kita juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memberikan cadangan bagaimana sistem amaran kecemasan dapat diwujudkan di tempat-tempat perkelahan supaya pengunjung dapat mengetahui lebih awal jika berlakunya limpahan air secara mengejut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melawat Mohd Hasif Abdul Halim, 9, yang selamat dalam tragedi itu.

Bapanya Abdul Halim Samian, 44, ibunya Nurul Adila @ Salwati Awang, 39 serta tiga kakaknya Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10, lemas semasa mandi manda di kawasan perkelahan itu pagi Sabtu.

Keluarga itu tinggal di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan memasang tanda amaran di kawasan-kawasan rekreasi seperti yang yang dilakukan di kawasan perkelahan
Sekayu, Hulu Terengganu.

"Di Sekayu, Pejabat Perhutanan telah memasang lima siren kecemasan bagi memaklumkan kepada pengunjung lebih awal jika sebarang kejadian kecemasan berlaku," katanya.

Mengenai Mohd Hasif yang yatim piatu susulan tragedi itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri bersetuju menjadikannya sebagai anak angkat di bawah kelolaan Yayasan Terengganu (YT) dan memastikannya mendapat pendidikan sempurna selain kebajikannya dijaga sepenuhnya oleh YT.

"Namun, ia bergantung kepada keluarga bapanya. Jika Mohd Hasif dibawa pulang oleh keluarganya di Selangor, kita tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.