Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melepaskan jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Bekas menteri besar Terengganu itu dikatakan berbuat demikian pada 4 Februari lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima salinan peletakan jawatan tersebut.

Menurut Rozi, ketika ini pihaknya masih masih menunggu maklum balas daripada DUN Terengganu seterusnya perbincangan bersama parti akan dilakukan.

“Kita di peringkat UMNO negeri Terengganu ada menerima satu salinan daripada Datuk Seri Ahmad Razif bahawa peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang di DUN kita akan bawa perkara ke peringkat DUN.

“Kita pun belum mendapat maklum balas dari DUN, kalau dapat apa-apa keputusan kita akan maklum semula. Apa-apa pun kita akan bawa berbincang dengan UMNO perhubungan (negeri),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Ahmad Razif yang dilantik sebagai ketua pembangkang selepas Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

PRU14 menyaksikan Pas berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada BN dengan majoriti dua pertiga.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan Pas yang pernah membentuk kerajaan negeri dalam PRU10 pada tahun 1999.