Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada Korea Utara untuk berhenti memperkotak-katikkan Malaysia dan menggunakan negara ini sebagai hab untuk melakukan aktiviti jenayah dan memenuhi agenda mereka.

Beliau berkata kerajaan Malaysia sentiasa bekerja keras bagi memastikan keselamatan rakyat dalam negara ini.

"Saya nasihatkan pihak para diplomat dari Korea Utara sama ada di peringkat organisasi antarabangsa supaya jangan menganggap Malaysia seperti negara yang telah mereka perkotak-katikkan selama ini. Pendirian kita tegas dan kita jamin rakyat selamat.

"Jangan gunakan Malaysia sebagai tapak mereka membuat kerenah yang kononnya mereka boleh lakukan di negara lain," katanya yang ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Putrajaya di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia akan mengenakan visa perjalanan kepada warganegara Korea Utara bermula Isnin (6 Mac) depan.

"Langkah yang dilakukan KDN dan Jabatan Imigresen akan diwartakan kepada semua warga Korea yang mahu datang ke Malaysia," katanya.

Apabila ditanya mengenai samada keputusan itu dibuat oleh kabinet, Zahid berkata bahawa keputusan itu dibuat oleh dirinya selaku Menteri Dalam Negeri.

Sementara itu beliau berkata keputusan untuk menghantar mayat mangsa, Kim Jong Nam pulang ke Korea Utara akan dibuat setelah siasatan dilengkapkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebelum ini menegaskan bahawa siasatan hanya boleh dilengkapkan dengan bantuan ahli keluarga mangsa, Kim Jong Nam, terutamanya bagi mengesahkan identitinya.

Jong Nam yang diserang oleh dua wanita menggunakan senjata kimia ajen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari membawa pasport Korea Utara dengan identiti sebagai Kim Chol.